Debat Kemerdekaan 2008 : Epi. 2

Ogos 27, 2008 at 11:25 am (Debat)

Episod 2 kali ini saya ingin menyoroti beberapa situasi yang berlaku sepanjang berada di UMT untuk Debat Kemerdekaan IPT 2008 kali ini.

PENGANJURAN ‘BOLEH TAHAN’

UMT telah berjaya memainkan peranannya sebagai host dengan sangat baik. ‘Usher’ yang sangat rajin mengambil berat tentang pasukan yang diamanahkan antara aspek yang menarik perhatian kali ini. Masakan tidak, semata – mata nak pastikan team jagaan menepati masa, seorang ‘usher’ ini telah menelefon seorang pengawai pengiring sejak jam 6 pagi sehingga 8 pagi sebanyak hampir 10 kali. Kasihan pengawai pengiring tersebut tak dapat nak beradu dengan aman. Keseluruhannya, tempat tidur, makanan dan kemesraan boleh diberikan merit.

KUASA WANITA

Pendebat wanita tampaknya menyinar sepanjang debat kemerdekaan ini. Tidak silap ada dua pasukan yang meletakkan 3 pendebat utamanya adalah wanita — UPSI & UIAM. UIAM berjaya menjadi Juara Liga setelah 6 pusingan kelayakan sementara UPSI berjaya melangkah ke pentas akhir (naib johan).

Dalam masa yang sama, Top 3 Pendebat Terbaik Liga turut dikuasai wanita. Cik Habibah dari UPSI di tangga 1, Cik Husna dari UIAM di tangga 2 dan Cik Mahirah dari UIAM di tangga 3. Pendebat Terbaik Akhir turut diungguli oleh seorang wanita yakni Cik Habibah dari UPSI. Secara peribadi, sangat ‘comel’ gandingan wanita UIAM sementara gandingan wanita UPSI sememangnya berada pada kelas tersendiri. Tahniah WANITA TULEN

Seorang wanita bernama Cik Zakia Setu dari USM turut menarik perhatian saya. Sejak dari Debat Alam Sekitar tempoh hari ( tak berpeluang melihat ), namanya sudah menjadi sebutan. Kekuatan wanita ini pada kesantunan dan kelembutannya dalam debat. Teruskan usaha kejar kejayaan ya !

UTHM & USIM

Pasukan baru yang meningkat naik.

USIM berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir. Gandingan Ikhwan – Umairah ternyata saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

UTHM pula menyengat setelah 3 pusingan membuat kejutan berada pada Rank 1. Saya rasa UTHM boleh melangkah jauh andai ada anjakan perubahan pada keyakinan diri.

BAKAT BARU DOMINASI

Jujurnya, pentas Debat Kemerdekaan kali ini mempertaruhkan bakat baru secara dominan. Kebanyakan IPT mula beralih pada strategi memberikan pendedahan pada pendebat – pendebat baru. Antaranya, UiTM, USM, UNITEN dan lain – lain. Ini menjadikan hampir tiada pasukan favourite yang dilihat cukup dominan untuk dicopkan sebagai ‘juara menunggu’. Situasi seperti ini secara tidak langsung telah memberikan satu persaingan yang seimbang, adil dan sihat.

MASJID KRISTAL MEMPESONAKAN

Tarikan terbaru di Terengganu tentunya Masjid Kristal. Lihat dari jauh seakan membazir namun apabila benar berada di depan mata, ianya sangat mempesonakan. Terasa gahnya Tamadun Islam sepanjang berada di situ. Benar kata En Azizul Hakim, “Bina masjid lawa – lawa memang berkesan menarik orang untuk solat”.          Benar jua kata Sdra Ali, “Alang – alang orang datang melawat, pasti terus bersolat”.

Senang kisah,

sebuah pengembaraan yang menarik di Debat Kemerdekaan 2008 ini.

Debat adalah sebuah pengembaraan ~

Pautan Kekal 1 Komen

Debat Kemerdekaan 2008 : Ep. 1

Ogos 27, 2008 at 1:24 am (Debat, Dunia Semasa)

Assalamualaikum semua.

Debat Kemerdekaan anjuran ARKIB Negara dengan kerjasama MADUM telah tamat dengan jayanya 25 Ogos yang lalu setelah berkampung 5 hari di Uni. Malaysia Terengganu.

Sebagai berperanan selaku pemerhati sepenuh masa di Debat Kemerdekaan 2008 ini, saya ingin berkongsi beberapa perkara yang saya kira bernilai untuk semua terutamanya para pejuang dan pencinta debat.

UTP PECAH MONOPOLI IPTA

TAHNIAH buat pasukan Universiti Teknologi Petronas (UTP) atas kejayaan muncul JOHAN PERTANDINGAN DEBAT KEMERDEKAAN IPT 2008.

Merit harus diberikan kerana kesungguhan ‘all out’ UTP hingga ke hujung perdebatan menyebabkan dua ‘gergasi debat’ yakni UIAM dan UM ditewaskan UTP di peringkat suku dan separuh akhir. TAHNIAH !

Pasukan ini memiliki kesempurnaan dalam meragukan kes pihak lawan dan membuktikan kes pihak mereka. Sepanjang pusingan menang mara, mungkin sudah termaktub rezeki mereka, posisi yang diperoleh adalah sebagai pembangkang. Inilah kelebihan yang berjaya dimanfaatkan sebaiknya oleh pasukan UTP. Keraguan yang dibuat sangat memerangkap dan ‘menyusahkan’ pihak lawan untuk kembali menjelaskan dan mempertahankan kes.

Permulaan keraguan oleh Mohd Hairul (pendebat 1) sepanjang berperanan selaku pembangkang sangat jelas dan kadang-kala memberi gambaran awal kemenangan sudah berpihak pada mereka. Saya sangat kagum melihat prestasi Mohd Hairul ini sangat ketara meningkatnya jika dibandingkan sepanjang 6 pusingan kelayakan dengan pusingan menang mara. Nyata, keinginan dan rasa tanggungjawab beliau di pusingan kalah mati/menang mara dimanfaatkan sebaik-baiknya. Tingkatkan prestasi !

Siddiq (pendebat 3) pula turut menjalankan peranannya dengan baik. Walau pun masih sangat baru dalam pengalaman debat intervarsiti, saya kira Siddiq telah menjalankan tugasnya selaku pendebat 3 dengan baik berdasarkan kapasiti yang beliau miliki. Cuma kurangnya, gaya ‘persekolahan’ masih lagi membelenggu Siddiq tapi saya percaya dengan latar belakang selaku pelajar pintar dan cinta pada debat, Siddiq boleh berubah menjadi lebih baik. Content bidasan beliau memang jelas. Tahniah Siddiq, teruskan belajar dan mencipta kejayaan !

Merit besar buat ‘master mind’ pasukan ini : Junnyaruin Anak Barat (pendebat 2 & penggulung). Saya rasa memang Junny sangat berkobar-kobar untuk mencipta kejayaan di Debat Kemerdekaan 2008 ini. Dalam debat, ‘kepala’ team akan mula menunjukkan taring di awal perdebatan dengan memberikan celahan/izin laluan berbentuk ‘perangkap’. Dalam hal ini, Junny sudah mahir dalam membaca kes pihak lawan lantaran izin laluan di awal yang kerap ditanya oleh beliau adalah bersifat ‘perangkap’. Ini nyata menunjukkan beliau sudah matang dalam dunia debat. Sememangnya, kali ini saya lihat Junny sangat berjaya menjalankan peranan beliau, baik sebagai ‘kepala’ team, struktur dan penyampaian jelas selaku pendebat ke-2 serta penggulung yang bijak melongsaikan kelemahan pasukan lawan. Maka, layaklah bergelar Johan. Tahniah Junny. Beliau nyata menggunakan pengalamannya selama ini dalam kejohanan kali ini dengan jayanya !

Sinopsis Episod 1

Berstatuskan ‘pemerhati sepenuh masa’ di Debat Kemerdekaan 2008, begitulah pendapat saya tentang pasukan Johan tahun ini. Jujurnya, memang kecewa pasukan UM tewas pada mereka di semi namun kerana mereka lebih memahami dan menggunakan setiap inci, ruang dan masa yang ada untuk berhempas-pulas mencipta kemenangan, tentunya UTP adalah pasukan paling layak dinobatkan sebagai Johan. TAHNIAH.

Cuma, harapannya, janganlah setelah kejayaan ini, kalian berubah diri pula………..

Debat adalah sebuah pengembaraan~

Pautan Kekal 4 komen