Arkib untuk Februari, 2008

OIAM2 : Bakat Menang !

Posted: Februari 29, 2008 in Hiburan

One In A Million Musim ke-2 tamat dengan rasminya malam tadi. Keputusan diketahui dari siaran tertunda (lewat 30 minit dari masa asal) mengangkat seorang gadis kampung dari Sabah, Ayu selaku Champion nya ! Tahniah dan syabas dari pihak penamaya.

OIAM2 The Champion !

Sebelum itu, penyanyi serba boleh, Siti Sarah menjadi peserta akhir yang tersingkir sekaligus meranapkan harapan Siti Sarah untuk menggondol wang RM1 juta itu. Wajah Siti Sarah ketika sesi pengumuman penyingkiran seolah-olah telah bersedia untuk disingkirkan. Well, she is a good singer dan sentimen voters untuk mengangkat artis yang sudah established as a champion nampaknya belum lagi tercapai. Sentimen itu masih ada dan menebal. Dayang Nurfaizah pun menjadi mangsa yang sama dalam edisi yang lalu. Pastinya, persembahan Siti Sarah utk ‘Fantasia Bulan Madu’ akan diingat !

saraH, 3rd !

Anak ND Lala yang beradu nasib beruntung dapat beraksi di final. Memang tak dapat dinafikan, Shila memang ada rupa dan pakej sebagai artis namun persembahan Shila di Final OIAM ini tidak menyengat. Sangat Biasa ! Tetapi kredit harus diberikan kerana Shila memang menjadi dirinya sendiri dalam delivery persembahannya.

Shila, 2nd !

Erm, berakhir dah satu edisi realiti TV yang agak berpengaruh di Media Prima ini. Pasti kita akan menunggu dan melihat apa akan jadi pada nasib jutawan baru, Ayu dalam perjalanan karier seninya selepas ini. Suki yang menjadi Juara edisi sulung OIAM sehingga ke hari ini masih belum jelas… ke mana pelaburan RM1 juta yang dijanjikan untuk Suki? Album nya ? Promosi dan publisiti nya ? Produk nya ? .. masih penuh dengan tanda tanya … (En Izham Omar tak nak menjawab kah ?)

Tahniah pada pemenang dan selamat memeriahkan industri hiburan tanahair !

PRU12: Kata-kata Tun Dr M.

Posted: Februari 28, 2008 in Dunia Semasa

Fahami dan Tafsirlah sendiri.

Filem Anak Menghampakan !

Posted: Februari 28, 2008 in Hiburan

Sempat juga berkunjung ke One Utama malam tadi bersama beberapa rakan rapat untuk menonton wayang. Dah lama rasanya tak berkunjung ke mana-mana panggung wayang untuk menonton karya layar perak ini. Tujuan ke One Utama memang hendak menyaksikan filem lakonan gandingan Erra Fazira dan Ida Nerina. Filem Anak !

                          Poster ANAK

Begitulah gambaran poster filem ini. Secara keseluruhan, rating saya pada filem ini adalah sekadar 2 bintang sahaja ! Bukan hendak merendahkan tahap filem tempatan tetapi inilah hakikatnya. Bagi saya, perkembangan filem tempatan sejak dua menjak ini boleh la dikatakan amat memberangsangkan namun kehadiran filem Anak ini seolah-olah mencacatkan kembali perkembangan positif yang sedang berlaku.

Pertamanya, saya sudah rasa lain macam apabila mula-mula masuk ke dalam sinema. Kebiasaannya, rakyat Malaysia tidak boleh duduk diam kalau ada genre filem seram ditayangkan, sampai berminggu lamanya pasti akan ‘full house’.. namun lain pulak situasi semalam apabila yang memenuhi panggung Anak ini tidak sampai pun separuh dari tempat duduk yang ada. Mungkin orang dah hebah tentang prestasi filem ini.

Keduanya, filem ini memang mempunyai mesej yang sangat bagus namun kriteria dalam filem untuk menyerlahkan kebagusan mesej itu tidak kesampaian. Sistem audionya, sinematografinya malahan lagu temanya memang bermasalah.  Memilih aktor Indonesia yang saya kira langsung gagal membantu jalan cerita filem ini, lakonan Ida dan Erra pun bukan pada tahap yang optima. Erra kelihatan janggal untuk melakonkan babak-babak seram namun untuk babak air mata, pastinya gandingan Erra dan Ida ini superb !

Ketiganya, filem ini bergerak lambat dan pengakhiran yang sangat mendukacitakan ! Perlukah diakhiri dengan segala apa yang berlaku hanya lah sekadar sebuah MIMPI ?! Saya malahan penonton yang lain kelihatan mendengus, merungut malahan ketawa terbahak-bahak apabila ending filem ini adalah sebegitu rupa. Zaman kisah seram berakhir dengan mimpi dah lama dah berlalu..paling akhir pun, kalau tidak silap adalah filem Mistik.. dan FINAS serta LPFM pun sudah bertolak-ansur dalam paparan kisah seram layar perak. Ending dengan sebuah mimpi memang mencacatkan semuanya!

Apapun jua, filem ini tidaklah kontang dengan mesej. Ada laporan akhbar yang melaporkan filem ini membawa mesej yang negatif sebaliknya apa yang dapat saya terjemahkan dari intipati filem ini adalah sesuatu yang positif dan harus dijadikan iktibar.

Anak adalah anugerah Tuhan. Dapatkan lah anak dari sumber dan cara yang halal dan diredhai. Jangan sesekali digugurkan benih anak yang dianugerahkan. PEMBUNUH !

Kecantikan luaran bukanlah sesuatu yang kekal. Tapi harus sentiasa ingat, andai dalam nya indah dan cantik, pasti yang luar akan kekal cantik tak kekang dek usia. Muda pasti akan tua. Licin pasti akan kesat dan kedut. Jangan dek kerana ingin cantik, perilaku anda melanggari batasan syariah dan sanggup bertuankan syaitan durjana.

anak

Selamat Maju Jaya pengkarya filem tempatan !

PRU12: Nenek Mula Berkempen.

Posted: Februari 27, 2008 in Dunia Semasa

Kisah seorang nenda berusia 89 tahun yang akhirnya terkabul hajat bergelar calon pilihanraya pastinya dinanti-nanti kebanyakan pihak. Berikut adalah 3 potret gambar yang saya petik dari galeri pilihanraya website tertentu untuk menunjukkan kepada kalian, KEGIGIHAN SEORANG NENEK BERKEMPEN !

Nenda Maimun di hadapan terataknya. Mula atur strategi!

1.Nenda Maimun, 89 tahun berdiri di hadapan teratak usangnya untuk memulakan hari-hari penuh gembira yang setelah sekian lama dinantikan oleh nenek ini. Hari bergelar seorang calon PRU. Lihat penampilannya, tanpa baju kurung berlabuci (kebanyakan calon lain gemar memakai), tanpa fesyen tudung (berjambul atau bermanik) , tanpa kederaan pacuan 4 roda dan semestinya tanpa sesiapa di sisi. Nenek ini tetap tersenyum gembira memulakan langkah kempennya.

Mesra Gerai.

2.Memilih strategi ‘mesra gerai’ ! Tanpa perlu markas, tanpa perlu mikrofon. Nenda 89tahun ini menjalankan ceritera kempennya dengan menemui para pengundi dari gerai-gerai yang ada sekitar kampung halamannya. Sambil bertemu, sambil itu jualah nenda mencanang ‘ketidakpuashatian’nya kepada apa yang telah ada dan ambil kesempatan meraih undi. Agaknya, apakah manifesto insan super- veteran ini ya ?

lambaian harapan. Undi Nenek!

3. Menyusuri jalanan di kampung tercintanya, hanya berbasikal tua. Nenek ini melambai dengan penuh harapan kepada para pengundi yang ada agar ‘jangan lupa pangkah nenek ya’. Kayuhan dan lambaian nenek ini sambil tersenyum puas jelas menunjukkan betapa hati nenda ini sangat lega dan gembira akhirnya liputan aku sebagai calon menjadi kenyataan !

 Dipetik dari malaysiakini – Maimun berkata, PAS mahu menjual negeri Terengganu kepada Jepun kerana lambang PAS hampir sama dengan bendera negeri matahari terbit itu. Menurutnya, beliau tidak mahu Terengganu menjadi seperti Singapura dan Pulau Pinang yang menjadi “negeri orang Cina.”

“BN pula mahu menjual negeri ini kepada orang luar dan kerana itu mereka buat bangunan tinggi supaya orang luar datang,” katanya. — mungkin ada benarnya firasat insan tua ini ?

Renunglah bersama —

Kadang-kadang dalam hidup ini, kemenangan tidak memberikan kita erti kepuasan yang sebenar. Tetapi, dapat melakukan dan melaksanakan apa yang dicita-citakan, pasti memberi nilai kepuasan yang optima. Inilah harga sebuah kesabaran dan kecekalan, Allah izinkan jua nawaitu nenda ini bergelar calon sebelum Allah menjemput diri nenda kembali ke pangkuan – Nya.

‘Percaya dan Yakin pada rezeki dan ketentuan Allah’

PRU12: Perang Poster Bermula !

Posted: Februari 27, 2008 in Dunia Semasa

kereta kebal BN

Kehangatan PRU12 telah dirasai bahangnya. Walaupun di sesetengah tempat umpamanya di Perlis dilaporkan masih suram-suram dek kerana palit luka sandiwara UMNO negeri itu yang baru hendak pulih. Sekalipun begitu, masih ada masa yang panjang untuk berkempen, hari ini baru masuk hari yang ke-4 daripada 13 hari yang ditetapkan oleh SPR.

Perang Poster sudah pun bermula di seluruh negara ! Teruskan menggantung ! Meriahkan suasana PRU12 !

cover_pru_ubah.gif

Poster BN

Fokus Projek Tahun Akhir !

Posted: Februari 26, 2008 in Peribadi

Menghitung hari..detik demi detik.. (post ini bertemakan lagu Menghitung Hari nyanyian Kris Dayanti). Hehe.

Bergelar pelajar tahun akhir tentunya tak boleh lari dari tugasan menyiapkan thesis aka projek tahun akhir. Untuk pengetahuan, bawaan jam kredit bagi Projek Tahun Akhir ini adalah sebanyak 8 jam kredit ! Bayangkan dengan jumlah yang sebegini banyak, pasti akan menjadi ‘durian runtuh’ apabila dikurniakan ‘A’. PNG yang bakal dapat pasti indah dan PNGK yang ada tentunya melonjak. Mudah-mudahan murah hati supervisor untuk kurniakan aku ‘A’ ! Amin.

Apapun, hujung bulan Februari ini akan menjadi pemula bagi segala kesibukan seorang anak kampus untuk memberi 200% fokus dalam menyelesaikan tugasan thesis ini dengan sempurna. Berikut adalah tarikh-tarikh penting :

a) 29 Februari 2008 – Penghantaran Abstrak (secara online) kepada Penyelaras. [normaniza@yahoo.com]

b)13 – 14 Mac 2008 – Pembentangan Projek (bentuk Poster)

c)Pertengahan April 2008 – Penyerahan Penuh Thesis.

Buat rakan – rakan se’course’, jangan leka dan alpa. Detik semakin hampir !

Sememangnya, menjalankan thesis ini selama hampir 6 bulan adalah satu perkara yang agak sengsara tapi pengalaman yang menarik. Komitmen, kerjasama dan semangat kecekalan yang tinggi sewajibnya ada lebih-lebih lagi, tapak kajian aku adalah di Melaka. (Petronas Penapisan Melaka). Bayangkan proses ulang – alik yang kerap dijalankan. Erm, tak nak lah cerita panjang lebar mengenai pengalaman menjalankan thesis ini sebabnya masih ‘in progress’ lagi menyiapkannya. Mudah-mudahan proses paling kritikal (presentation and writing) dapat disempurnakan dengan mudah dan lancar, pastinya dengan bantuan dari ALLAH MAHA ESA ! .

Ok. Selamat menyiapkan karya thesis anda !

PRU12: Perjuangan seorang Nenda ?

Posted: Februari 25, 2008 in Dunia Semasa

Parlimen Kuala Terengganu pasti menjadi tumpuan dalam edisi PRU12 ini. Seorang nenek berusia 89 tahun akhirnya tercapai cita-cita untuk bergelar calon pilihanraya setelah permohonannya selama 4 kali sebelum ini gagal. Mungkin inilah berkat kesabaran, Allah memanjangkan umurnya untuk mengkabulkan hajat murni nenek ini. Sekurang-kurangnya ada kepuasan dalam diri nenek ini sebelum pergi meninggalkan dunia fatamorgana ini…..

Ketika ditanya, apakah sebabnya bertanding di kawasan parlimen setelah dalam 4 percubaannya untuk menjadi calon adalah bertanding di DUN, nenek ini menjawab kerana kepingan ingin berlawan dengan Mat Sabu PAS. Di mana ada Mat Sabu, di situlah nenek berada ! Dengan sahnya permohonan nenda ini, Parlimen Kuala Terengganu akan mempertemukan penyandangnya, Datuk Razali merangkap Pengerusi PTPTN vs Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS vs Nenda Maimun Yusuf, calon Bebas dalam PRU12 8 Mac nanti. Pertembungan yang sangat menarik !

Tapi, apakah sebenarnya niat perjuangan Nenda Maimun ini ?

Pertama, nenda ini lantang melabelkan ketidakpercayaan beliau kepada semua parti politik yang ada di Malaysia seolah – olah ada mesej tersirat yang cuba hendak dilontarkan dari isi hati nenda ini. Kedua, Logo kunci akan dijadikan simbol beliau sebagai calon Bebas dalam kertas undi nanti. Kenapa kunci ? Dan, ketiga nenda ini menamakan yang beliau adalah wakil parti beliau iaitu ‘Parti Tanah Melayu bersama Islam’. Satu nama parti yang panjang dan unik! Ketiga-tiga intipati ini punya mesej tersendiri yang perlu kita renung, fikir dan analisis bersama.

Ikutkan hati ingin sahaja saya berkunjung ke Kuala Terengganu dalam tempoh kempen ini kerana saya ingin mengikuti sendiri ‘tour’ kempen seorang nenda ini. Tapi, destinasinya sangat jauh pula. Harapnya media akan membuat liputan serba sedikit mengenai kelibat nenda ini dalam edisi kempen menjelang 8 Mac ini.

Sebenarnya, kita tidak wajar untuk bergelak atau sinis dengan tindakan nenda ini. Cuba lah sama-sama kita renung dan analisis nilai perjuangan nenda ini yang tidak kenal erti segan, erti putus asa apatah lagi erti risiko yang akan dihadapi.

1. Setelah 4 penggal gagal mencuba, beliau terus mencuba. Ternyata, percubaan yang berkali-kali gagal tidak pernah memberi apa-apa makna kesal dan putus asa pada Nenda Maimun ini. 20 tahun menanti (4 penggal), tanggal 24 Feb pasti akan menjadi tarikh keramat dalam diri insan veteran ini. Moral- jangan cepat putus asa! Failure is not an option!

2. Nenda Maimun memang tegar untuk berjuang sehingga sanggup menggadaikan tanah pusakanya semata-mata untuk menjadi calon pilihanraya. Perlu diingatkan, menjadi calon kawasan Parlimen, wang pertaruhan adalah sebanyak RM10 ribu. Demi bertemu Mat Sabu, tanah pusaka sanggup digadai. Moral- tiada apa jua halangan untuk kita mencapai apa yang kita inginkan! Demi cita, cinta perlu diketepikan!

3. Ketika ditanya wartawan, tidak gentar kah akan hilang wang pertaruhan dalam PRU nanti? Nenda selamba menjawab “pitih (duit) boleh dicari”. Moral- tiada istilah risiko dalam perjuangan! dan, wang bukanlah penghalang demi cita yang satu!

Secara peribadi, saya mendoakan Nenda tabah, sabar dan cekal sepanjang tempoh berkempen menjelang PRU12 8 Mac nanti. Kalian yang di luar, jangan gelak atau sinis tapi ambillah moral di sebalik kisah perjuangan nenda ini.

PRU12: PMN sah hanya GIMIK !

Posted: Februari 25, 2008 in Dunia Semasa

Selamat sudah satu fasa yang dinanti ramai, proses penamaan calon PRU12 disifatkan berjalan dengan lancar, sebagaimana pengakuan yang dibuat oleh SPR semalam, 24 Feb 2008. Alhamdulillah. Tiada kedengaran kisah botol dibaling, maki memaki dan lain – lain sepanjang proses penamaan ini.

Ada satu perkara yang saya nantikan, malahan oleh kalangan rakan saya juga iaitu calon – calon yang akan dikemukakan oleh Parti Mahasiswa Negara untuk bertanding dalam PRU12 ini. Namun, sehingga tamat liputan penamaan calon semalam, tiada pun ahli PMN ini diumumkan bertanding dalam PRU12 . Ternyata, gendang yang dipalu sememangnya hanya satu GIMIK sahaja.

Walaubagaimana pun, saya secara peribadi ingin mengucapkan syabas dan tahniah atas tindakan ‘sedar diri’ yang diambil kelompok pejuang dalam PMN ini.

PRU12: Anak yang Dipertaruh ?

Posted: Februari 21, 2008 in Dunia Semasa

Ketara bahang PRU12 semakin terasa. Media nasional berlumba-lumba menyajikan khabar pengisytiharan calon-calon Barisan Nasional saban waktu. Malahan Utusan Online ada seleksi Terkini memaparkan info paling segera mengenai pengisytiharan calon-calon BN setelah diperkenan YAB Pak Lah. Saya turut tidak ketinggalan mengikuti penuh hemat berita yang disampaikan di Buletin Utama, Warta Perdana termasuklah Berita Bernama di Astro Ria.

Kemudian terdetiklah sesuatu dalam benak fikiran saya…….

a)Pengumuman Calon di Kedah : Anak Tun Dr M bertanding di Parlimen Jerlun.

b)Pengumuman Calon di Selangor : Anak Menantu Datuk Zek menggantikannya bertanding di DUN Pelabuhan Kelang.

c)Pengumuman Calon di Sarawak : Anak MB menggantikannya bertanding di Parlimen Kota Samarahan.

d)Pengumuman Calon di Kelantan : Anak Datuk Dusuki (seorang Dr) menggantikannya bertanding di Parlimen Tumpat.

Antara nama yang dilaporkan dan ianya berjaya menarik pemikiran saya.

Apakah ini himpunan kisah ayah yang terpaksa digugurkan lantas anaknya mencelah mengambil alih ?

Apakah ini strategi hebat pihak BN menampilkan muka – muka baru dalam cara sebegini ?

Apakah ini pelan jangka panjang bagi memastikan KRONI & DINASTI terus dijamin ?

Apakah kekuatan seorang anak untuk mengelak pengaruh ayah tatkala bergelar wakil rakyat kelak ?

Atau…sememangnya mereka adalah calon baru yang sudah punyai darah dan azam perjuangan yang satu !

Seperkara lagi, kita masih menanti ….

a) Anak Menantu YAB Pak Lah ( di Rembau atau ke Putrajaya atau sabar lagi? )

b) Anak Kesayangan DS Anwar Ibrahim ( di Lembah Pantai? ) 

Strategi PRU12 : ANAK yang dipertaruhkan ?

Beberapa hari menjelang penamaan calon 24 Februari ini, agenda harian YAB Pak Lah lebih cenderung menerima kunjungan Menteri Besar dan Ketua Menteri di Pejabat ‘Kubah Hijau’ untuk memperkenankan nama – nama calon yang akan dipertanding pada PRU12 ini. Dalam masa yang sama, gerakan PAS, PKR dan DAP satu demi satu mula mengisytiharkan calon masing – masing yang akan dinamakan.

rt.png

Tidak mahu ketinggalan dalam arus ‘mengisytiharkan’ calon – calon bertanding adalah parti yang bersungguh-sungguh hendak bertanding (status ROS dah sah kah ? ) iaitu PARTI MAHASISWA NEGARA. Saya tidak berminat hendak ‘copy and paste’ nama dan pencapaian calon yang disenaraikan di mahasiswakini.com. Lebih elok, jika anda melayari website tersebut dan bacalah satu demi satu nama-nama calon yang disenaraikan. Lebih menarik lagi, teka-teki calon PMN yang disenaraikan adalah untuk menentang YAB Pak Lah di Kepala Batas. Hurm,,, ?????

Ketika hasrat Presiden PAS untuk mengekori ke mana saja gelanggang yang boleh mempertemukan beliau dengan YAB Pak Lah, namun ternyata keseluruhan jentera PAS tidak mengizinkan beliau berbuat demikian yang akhirnya menyaksikan Presiden PAS akan bertanding mempertahankan DUN Rhu Rendang dan kembali merampas Parlimen Marang. Parti yang sudah ada reputasi pun tetap gentar nak meletakkan calon paling berpengaruh dalam PAS untuk menentang YAB Pak Lah tetapi parti kerdil malahan samar, PMN sangat berani menetang arus. Adakah ini satu tindakan yang realistik ?

Layarilah mahasiswakini.com untuk anda semua lihat calon-calon PMN bagi menentang YAB Pak Lah. Analisis lah setiap pencapaian mereka. Bagi saya, mereka dan cerita pencapaiannya lebih elok ditaip kemas untuk diletakkan dalam BIODATA DAN MANIFESTO CALON PILIHANRAYA KAMPUS. Itu yang SELAYAKNYA bagi mereka !

Walauapapun jua, ini lah manifestasi saya mengenai idea/gimik penuh idealistik wakil-wakil PMN ini. Usahlah melakukan tindakan yang tidak rasional sebegini rupa. Dengan hanya jumlah ahli (jangkaan) hanya 2,000 orang seluruh negara, adakah PMN masih lagi hendak memalu gendang menghebah kekuatan mereka ? Itu baru 2,000 orang SELURUH NEGARA, berapa ramai pula yang di KEPALA BATAS ?

Fikirkanlah logiknya, janganlah anda memBATASkan KEPALA anda yang telah dikurniakan akal oleh Allah.

KEPALA punya Otak, Otak punya Akal, Akal punya fikir, fikirlah tanpa BATAS !